MISI ‘KAMI PRIHATIN’

4-7 Januari 2015

Sehingga malam 29 Disember 2014, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di enam negeri mencecah 223 756 orang. Angka itu antara yang tertinggi dan jumlah yang besar ini pastinya mengundang penderitaan yang amat perit kepada penduduk yang terlibat khususnya di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Bukan sahaja kehilangan orang tersayang malah harta benda juga musnah akibat ditenggelami air. Ada di sesetengah bandar kecil ia bagaikan dilanda ‘tsunami kecil’ sehingga menyebabkan semuanya musnah dalam sekelip mata.

 

Terlalu banyak dan pelbagai jenis khabar angin, cerita dan maklumat samada benar atau tidak tersebar meluas begitu juga dengan bantuan yang bertali arus, tiada henti daripada kerajaan persekutuan dan negeri, badan-badan bukan kerajaan (NGO), institut pengajian tinggi awam mahupun swasta, orang-orang perseorangan dan berbagai lagi tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir ini.

 

Sehubungan dengan itu, 35 orang sukarelawan dari badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Jabatan Penyiaran Malaysia antaranya PUSPANITA RTM, Kelab Motorsikal RTM, Majlis Sukan RTM, dan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam Malaysia (AKRAB) bersama-sama dengan lapan orang sukarelawan dari RTM Negeri Sembilan iaitu Pengarah NEGERIfm-Puan Norbaiyah Datuk Baharudin, Mohd Adha Ariza Zaidon, Zahilmi Mohd Tajuddin, Yusri Ibrahim, Shahrul Hairullah Abdullah, Wandy Jamiat Abdullah, Yassin Kassim dan Siti Shafiah Ariffin terdiri daripada juruhebah, wartawan, krew teknikal dan Pengarah NEGERIfm sendiri yang sudi bersama-sama anak buahnya turun padang ke Kelantan pada Ahad yang lepas, 4 Januari sehingga 7 Januari untuk menyumbang bantuan dan tenaga bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir. Fokus utama kami adalah untuk membersihkan pejabat dan konti RTM Kelantan yang terjejas akibat dimasuki air sehingga ke paras betis sehingga menyebabkan siaran radio Kelantanfm terpaksa dihentikan seketika sebelum disambung semula mulai 1 Januari 2015 menerusi konti sementara.

 

Perjalanan kami bermula dari Angkasapuri pada pukul 9.30 pagi selepas mendengar taklimat dan bacaan doa. Perjalanan kami ke sana mengambil masa 12 jam apabila kami selamat tiba di rumah penginapan kami, Sri Aur Chalet, Bachok pada pukul 9.40 malam. Sepanjang perjalanan kami singgah di beberapa tempat untuk rehat, solat dan makan termasuk di Guchil, Kuala Krai iaitu rumah salah seorang juruhebah Nasionalfm iaitu DJ Nurul Asiah bagi menguhulurkan sedikir sumbangan barangan keperluan asas. Rumah keluarganya teruk terjejas akibat banjir. Kuala Krai antara daerah yang teruk terjejas akibat dilanda banjir

 

Sepanjang perjalanan ketika melintasi daerah ini, pelbagai perasaan hadir dalam diri kami apabila melihat keadaan dan pemandangan penduduk di sana yang kebanyakkannya tinggal sehelai sepinggang terutama yang kehilangan rumah dan terpaksa menetap sementara di bawah kanvas tanpa dinding sementara menunggu bantuan. Ada juga yang bernasib baik sedang sibuk mengemas rumah mereka yang penuh dengan lumpur sehingga menyebabkan hampir kesemua barang milik mereka seperti perabot, pakaian dan barangan elektronik dibawa keluar rumah untuk dibersihkan, dan tak kurang juga yang rosak.

 

Kami berkesempatan melalui kawasan bandar Gua Musang Lama di mana kami dapat melihat peniaga-peniaga sibuk membersihkan kedai dan barangan mereka yang berlumpur dan kotor akibat banjir. Surau dan beberapa rumah di kawasan tersebut turut runtuh dan rosak teruk. Setibanya di chalet kami diberi taklimat oleh Encik Wan Ariffin Wan Hussin iaitu ketua bagi misi ini mengenai tugasan yang perlu kami lakukan pada hari kedua kami di Kelantan iaitu melaksanakan fokus utama kami membersihkan RTM Kelantan.

 

Tepat pukul 9.30 pagi kami memulakan perjalanan ke RTM Kelantan yang bertempat di Wakaf Che Yah, Kota Bharu. Perjalanan yang mengambil masa hampir sejam memberi kami peluang untuk melihat sekitar kawasan jajahan Bachok, dan Kota Bharu. Di sepanjang perjalanan ramai penduduk-penduduk yang sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sibuk mengemas dan membuang segala peralatan dan perkakasan yang rosak dan tidak boleh digunakan lagi. Bekalan air dan elektik baru diterima oleh penduduk setelah beberapa hari terputus bekalan. Setibanya kami di sana, kami disambut oleh kakitangan RTM Kelantan antaranya Timbalan Pengarah RTM Kelantan-Puan Nik Azizah Raja Abdullah. Keadaan di sana memang sudah dapat digambarkan oleh kami iaitu penuh berlumpur dan kebanyakan peralatan seperti kabel, perabot, komputer turut terjejas dan terpaksa dikeringkan di luar pejabat.

 

Setiap kawasan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan kumpulan NEGERIfm telah diberi tugasan untuk membantu membersihkan auditorium. Kami memulakan tugasan membersih dengan mengangkat semua kabel, pasu bunga, perabot bagi memudahkan tugasan membuang permaidani sedia ada yang sudah basah dan berlumpur. Selesai mengosongkan auditorium kami melaksanakan tugasan yang sama di bilik Timbalan Pengarah termasuk membasuh lantai dengan menggunakan pancutan air bagi membersihkan lumpur tebal yang meyelaputi lantai bilik tersebut. Seterusnya kami membersihkan bilik Pengarah RTM Kelantan-Encik Zulkipli Salleh, sebelum bermula acara rasmi di mana sebanyak 52 sumbangan barangan keperluan asas telah diberikan kepada kakitangan RTM antaranya beras, dapur gas, garam, gula, minyak dan pelbagai lagi terutama kepada dua orang kakitangan RTM yang kehilangan tempat tinggal.

 

Kami menyambung tugasan selepas majlis itu dan meneruskan segala kerja-kerja pembersihan sehingga ke luar kawasan RTM Kelantan. Kebanyakan perabot yang telah kami bawa keluar dari pejabat RTM terpaksa dibuang kerana ia telah kembang akibat berendam dalam air untuk beberapa ketika. Menurut Pengarah RTM Kelantan-Encik Zulkipli Salleh, jumlah keseluruhan kerugian yang dialami oleh RTM Kelantan adalah sebanyak 3.7 juta ringgit, melibatkan pembaikan semula barangan elektronik yang telah basah berendam air, membeli permaidani baru dan pelbagai lagi.

 

Menjelang petang, kami bergerak pulang ke chalet untuk berehat. Malam itu, sekali lagi kami diberi taklimat oleh ketua misi mengenai program bagi hari seterusnya. Kami memilih untuk pergi membantu menyampaikan sumbangan dan membersihkan sebuah kampung yang agak terpencil di Machang iaitu Kampung Temangan dan Kampung Limau Nipis yang terjejas teruk akibat banjir.

 

Selepas taklimat kami bergotong royong membahagikan semua barangan keperluan asas seperti beras, mihun, gula, tepung termasuk pakaian baharu yang ditaja oleh Kedai Pakaian Hari-Hari ke dalam 41 beg plastik di mana kesemua barangan tersebut merupakan sumbangan dari pelbagai pihak seperti NGO RTM , kakitangan di bawah Jabatan Penyiaran Malaysia dan orang ramai. Sebanyak 10 beg plastik telah diasingkan untuk diberikan kepada 10 buah keluarga terjejas teruk di Kampung Limau Nipis, manakala selebihnya diberikan kepada mangsa banjir di Kampung Temangan atau lebih dikenali sebagai Kampung Cekok. Walaupun letih selepas seharian mengemas, melawan selut dan lumpur, namun kami semua tetap ceria dan seronok kerana dapat bersama-sama melaksanakan tugasan ini. Walaupun sumbangan kami pasti tidak dapat memenuhi semua kehendak dan keperluan mereka, namun kami bersyukur kerana masih dapat menyumbang tenaga bagi meringankan bebanan mereka.

Keesokkan harinya, tepat pukul 9 pagi kami bertolak ke Machang dengan dipandu oleh tiga orang cikgu- Cikgu Sukeri Mat Zin, Cikgu Azme Hussain dan Cikgu Affandi Armi Ishak yang merupakan rakyat tempatan untuk membawa kami ke rumah mangsa banjir yang memerlukan pertolongan. Setibanya kami di sana, pelbagai emosi menguasai kami. Terlalu teruk keadaan di sana. Hampir kesemua rumah ditenggalami selut dan lumpur samada di dalam rumah mahupun di dalam rumah, sehinggakan terdapat sofa tersangkut di atas salah sebuah rumah mangsa yang menandakan ketinggian air dan juga kekuatan air semasa banjir sehingga berupaya membawa sofa tersebut naik ke atas atap rumah. Kami seolah-oleh terkelu, apa yang perlu dilakukan terlebih dahulu kerana hampir kesemua perlu diusik dan dikemas.

 

Akhirnya kami dibahagikan kepada tujuh kumpulan untuk membantu rumah-rumah yang telah ditandakan oleh Cikgu Sukeri Mat Zin. Ketiadaan air dan tenaga elektrik menambah kesusahan kepada kami dan tidak lama kemudian bekalan elektrik telah pulih dan salah seorang penduduk di situ dapat mengepam air dari perigi di kawasan tersebut. Penduduk yang lain hanya menggunakan perigi untuk membersihkan lumpur pada pakaian, pinggan mangkuk, dan perabut yang diselaputi lumpur.

 

Kumpulan NEGERIfm ditugaskan untuk membersihkan rumah seorang pak cik yang tidak boleh bercakap dan mendengar, namun kami bernasib baik kerana pak cik ini tinggal bersama isteri dan keluarganya. Menurut salah seorang anaknya-Che Affandi Armi, air mula naik pada pukul tiga pagi, 24 Disember dan dalam masa setengah jam air terus naik mendadak sehingga ke paras dada. Keluarga ini melarikan diri dari kampung tersebut menggunakan motorsikal ke pusat pemindahan yang berdekatan.

 

Tambahnya lagi, hampir 85 peratus daripada 560 buah rumah di Kampung Temangan ini runtuh akibat banjir besar yang melanda baru-baru ini. Sementara itu, salah seorang penduduk yang hampir 83 tahun menetap di Kampung Temangan-Wan Yunus Wan Mat, memberitahu banjir kali ini merupakan yang terburuk sepanjang tempoh beliau menetap di sini sehinggakan rumah beliau dan adiknya-Wan Hasan Wan Mat runtuh dan memaksa beliau untuk tinggal di bawah khemah.

 

Che Affandi Armi turut memberitahu hampir 300 orang mangsa berjaya menyelamatkan diri namun tidak sempat ke pusat pemindahan kerana air yang terlalu cepat naik menyebabkan mereka terpaksa menyelamatkan diri dengan duduk di atas bukit berhampiran lebih kurang tiga hari tanpa bantuan makanan dan minuman sehingga memaksa mereka bergantung hidup kepada air hujan. Air banjir yang sangat deras menyukarkan kerja-kerja menyelamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan. Tambahnya, seorang wanita yang baharu 30 hari melahirkan seorang bayi turut hanyut akibat tidak sempat menyelamatkan diri dan akhirnya terselamat selepas berjaya memaut pokok buluh sebelum pihak penyelamat menyelamatkan mangsa pada keesokan harinya.

 

Dalam masa yang sama, semasa kami membersihkan kawasan dalam dan luar rumah-rumah yang terjejas di Kampung Temangan, salah seorang guru yang membimbing kami memohon untuk dihantar beberapa orang sukarelawan ke rumah salah seorang bekas guru yang lumpuh akibat diserang strok beberapa tahun lalu iaitu Cikgu Jasmani. Beliau tinggal sehelai sepinggan setelah banjir melanda dan bagai ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ beliau ditinggalkan isteri dan enam orang anak akibat penyakitnya itu. Setelah dibenarkan pulang, sudah beberapa hari beliau hanya makan berbekalkan ihsan orang ramai dan tidur di surau kerana tidak berupaya untuk mengemas rumahnya sendiri. Walaupun lumpur dan selut di rumah Cikgu Jasmani lebih teruk dengan bau tanah yang meloyakan namun semua sukarelawan tetap membersihkan rumah tersebut dengan rela hati bagi membantu meringankan bebanan yang ditanggung Cikgu Jasmani.

 

Selesai proses pembersihan kami dijamu minuman dan makan tengahari sehinggakan kami merasa segan kerana sepatutnya kami yang memberi dan mereka hanya menerima namun sebaaliknya yang berlaku. Ketabahan jelas terpancar di wajah mereka walaupun perlu mengharungi bencana ini. Ia juga merupakan salah satu adat budaya yang dipandang tinggi orang tempatan di sana iaitu paling kurang hanya menjamu air kepada tetamu yang datang ke rumah mereka. Sekiranya tetamu datang pada waktu makan tengahari, maka tetamu akan dijamu masakan dan makanan tengahari untuk bersama-sama tuan rumah menikmati juadah makan tengahari.

 

Selesai makan, kami berehat sebentar sebelum proses pengagihan barangan sumbangan dan proses ‘mengosongkan lori’ dimulakan. Sebanyak 31 buah sumbangan telah diberikan kepada penduduk di situ namun tidak semua dapat menerima sumbangan dek kerana jambatan runtuh yang memutuskan hubungan di antara mereka. Hanya motorsikal yang boleh melalui kawasan itu, menyukarkan lagi kerja-kerja pengagihan sumbangan.

 

Akhirnya pihak kami ‘membuka lori’ untuk pengagihan barangan sumbangan dan selain penduduk di Kampung Temangan, ramai penduduk dari kawasan sekitar turut datang untuk menerima sumbangan. Kesemua yang datang memerlukan barangan keperluan yang berbeza seperti lampin pakai buang kanak-kanak, wanita, orang dewasa, tuala, toto, lilin dan makanan. Hampir kesemua mereka menyerbu dan berebut-rebut untuk mendapatkan sumbangan. Proses pemberian sumbangan berlanjutan sehingga hampir ke Maghrib sebelum kami bertolak pulang. Kami mendapat kerjasama yang baik dari penduduk dan ternyata mereka gembira dan sangat menghargai kedatang kami ke kampung mereka.

 

Kami meneruskan perjalanan pulang dengan perasaan yang sangat terharu, gembira kerana dapat berbakti walaupun hanya sedikit kepada mangsa-mangsa ini. Senyuman mereka memberi seribu erti kepada kami.Kami tiba di chalet pada pukul 8.30 malam sebelum masing-masing mula menyiang ikan, sotong, dan ayam untuk aktiviti BBQ kami di chalet. Semua bekerjasama menyiapkan hidangan makan malam bagi malam terakhir kami di sana.

 

Keesokan harinya, bumi Kelantan seolah-olah turut bersedih dengan kepulangan kami ke Kuala Lumpur apabila tepat pukul 9 pagi semasa kami bertolak pulang hujan turun dengan lebatnya sehingga ke Kota Bharu. Sebelum pulan kami singgah ke Pasar Siti Khatijah dan di situ juga terdapat kesan-kesan lumpur menandakan kenaikan air. Keadaan jalan di bandar Kota Bharu turut terjejas dengan bekas lumpur. 11.30 pagi kami bergerak dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dan selepas beberapa hentian, Alhamdulillah kami selamat tiba di Angkasapuri pada pukul 1 pagi setelah 15 jam perjalanan. Mari sama-sama kita doakan agar mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur terus tabah menghadapi dugaan yang menimpa mereka..Amin.

Coretan

Siti Shafiah Ariffin

Statistik Pengunjung

6.png7.png3.png3.png2.png
Today104
This week558
This month2020

Friday, 18 August 2017