RADIO MALAYSIA NEGERIfm

Mula beroperasi pada tahun 1990 di Jalan Raja Ali, Seremban, hasil cetusan idea Mantan Menteri Penerangan, Tan Sri Mohamed Bin Rahmat. Lokasi kini terletak di Jalan Sungai Gadut sejak 2007. Operasi siaran radio bermula pada 16 Ogos 1990 selama 12 jam sehari dengan nama Radio 3 Seremban dan dirasmikan pada 24 Mei 1992 oleh Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan – Datuk Seri Utama Tan Sri Haji Mohd Isa Bin Haji Abdul Samad.

Pada tahun 1998, nama stesen Radio 3 Seremban telah ditukarkan kepada Radio Malaysia Negeri Sembilan – (RMNS) yang bersiaran selama 18 jam iaitu bermula jam 6pagi hingga 12 tengah malam.

Namun perkembangan dalam industri penyiaran Negara menjadi titik tolak kepada proses penjenamaan semula semua stesen radio RTM yang diilhamkan oleh Mantan Menteri Penerangan – Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir bagi memantapkan lagi persembahan radio kelolaan RTM.

Justeru pada 25 Jun 2005, bertempat di Dataran Seri Kemang, Port Dickson , Menteri Besar Negeri Sembilan- Datuk Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan menyempurnakan majlis penjenamaan semula RMNS kepada NEGERIfm. Pada 21 Julai 2007, selaras dengan perpindahan NEGERIfm ke Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad di Jalan Sungai Gadut, Seremban, siaran NEGERIfm dipancarkan dari Kompleks Penyiaran yang baharu bermula 1 Ogos 2007.

Pada 2008, ia dengan rasminya dinamakan Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad yang disempurnakan oleh DYMM Tuanku Yang Di Pertuan Besar pada ketika itu, Almarhum Tuanku Ja’afar ibni Tuanku Abdul Rahman. Nama Tuanku Muhammad diambil bersempena dengan nama nenda Almarhum Tuanku Ja’afar. Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad dilengkapi dengan kemudahan siaran digital dan Auditorium Tengku Puan Cik (sempena nama nenda Almarhum Tuanku Ja’afar) yang boleh memuatkan seramai 1,000 orang penonton.

Operasi stesen telah diterajui pada awalnya oleh Pengarah yang pertama iaitu Haji Abu Samah Bin Mahat dengan lapan orang kakitangan. Kemudian diikuti Tuan Haji Zainal Abidin Bin Ibrahim, Tuan Haji Mohd Ayob Bin Mohammad, Tuan haji Zaharuddin Bin Pilus, Encik Jamil Bin Hashim , Encik Roslee Bin Mohd Salleh dan seterusnya Puan Norbaiyah Binti Dato’ Baharudin dengan 66 orang kakitangan.

Siaran radio NEGERIfm boleh diikuti menerusi gelombang-gelombang frekuensi 92.6Mhz di Seremban, 95.7Mhz dari Bukit Tampin, dan 107.7Mhz dari Gunung Ledang, serta meliputi beberapa kawasan di Kuala Lumpur, utara Johor termasuk Muar dan Tangkak, sebahagian Pahang dan seluruh Melaka.

Statistik Pengunjung

6.png1.png3.png3.png1.png
Today56
This week185
This month5797

Tuesday, 27 June 2017