SEREMBAN, 13 JAN – Kira-kira 8,000 penduduk dari sekitar Negeri Sembilan menyertai program Negeri Sembilan Berselawat yang diadakan bersempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir Yang Ke-70 di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi (KOMBES), Seremban, malam tadi.

Tuanku Muhriz berkenan berangkat mencemar duli menghadiri majlis tersebut bersama DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud serta dua putera Baginda, Tunku Besar Seri Menanti, YAM Tunku Ali Redhauddin dan YAM Tunku Zain Al’Abidin.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan bersama isteri, YM Raja Datin Seri Dato’ Hajah Salbiah Tengku Nujumudin.

Program Negeri Sembilan Berselawat dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebesaran Negeri Sembilan, bacaan Asmaul Husna dan selawat yang dipimpin oleh Habib Syech Assegaf.

Selain itu, penceramah jemputan, Al-Fadhil Syeikh Abd Razak Al-Masri telah menyampaikan Tausiyah.

Hadir sama, Tunku Besar Tampin, Yang Teramat Mulia (YTM) Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; Undang Luak Sungei Ujong, YTM Dato’ Haji Mubarak Dohak; Undang Luak Johol, YTM Dato’ Muhammad Abdullah; Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Seri Haji Mat Ali Hassan serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan. -N9Kini-