Sultan Kedah- Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah mengetuai senarai 693 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Negeri Sembilan sempena ulang tahun ke-70 keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan- Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir. Sultan Sallehuddin menerima Darjah Kerabat Negeri Sembilan (D-K-N-S).
 
Dalam majlis yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pila hari ini, anakanda Tuanku Muhriz- Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz mendahului senarai 144 penerima.
Tunku Zain dikurniakan Darjah Seri Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Terbilang (S-S-T-M) yang membawa gelaran Datuk Seri.
 
Selain itu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sembilan-  Datuk Dr. Awaludin Said dan Aktivis Keamanan Dunia- Datuk Dr. Ronald Mc Coy dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (S-S-N-S), yang turut membawa gelaran Datuk Seri.
 
Hakim Mahkamah Tinggi Seremban- Abu Bakar Jais pula merupakan antara tujuh penerima Darjah Datuk Paduka Negeri Sembilan (D-P-N-S) yang membawa gelaran Datuk. 
Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan- Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapan sembah tahniah dan taat setia melahirkan rasa kagum dan syukur kerana Tuanku Muhriz sentiasa prihatin dalam merasai keluh kesah rakyat mendepani kehidupan seharian  
 
Beliau turut menekankan tentang iltizam yang disuratkan oleh Tuanku Muhriz agar kerajaan negeri yang berada di bawah naungan baginda memastikan ekonomi negeri berkembang serta rakyat yang sejahtera iaitu mempunyai pendidikan, selain mereka yang kurang berkemampuan dibantu.